Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Carlton Holiday Hotel & Suites, Sungai Isap, Kuantan Pahang

MENGENAI

Pada 21 Mac 2017 yang lalu, Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Carlton Holiday Hotel & Suites Kuantan telah diadakan di atas Tanah Lot PT126045, Sungai Isap, Mukim Kuala Kuantan, Kuantan, Pahang yang disempurnakan oleh YB. Dato' Wan Rosdy Bin Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbadanan Negeri Pahang yang mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob dengan kehadiran hampir 800 orang yang merupakan wakil-wakil dari Agensi Kerajaan, wakil dari beberapa Koperasi di Pahang serta penduduk sekitar dan sebahagian besar terdiri dari anggota Koop Sahabat.

Projek ini dibangunkan di atas tanah seluas 2.8 ekar dan dibangunkan bersama oleh Koop Sahabat dan Megaday Development Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada I-Maju Development Sdn Bhd, antara pemaju terkemuka di Negeri Pahang.

Projek yang mempunyai anggaran nilai pembangunan sejumlah RM 37 juta ini dijadualkan akan siap pada Disember 2019 dan Carlton Holiday Hotel & Suites Kuantan dijangka akan mula beroperasi pada awal tahun 2020.

Projek ini akan melibatkan 2 pembangunan iaitu bangunan hotel setinggi 6 ½ tingkat dan 2 blok bangunan kedai pejabat. Carlton Holiday Hotel & Suites Kuantan kelak akan menawarkan 112 Bilik iaitu 98 unit Guest Room, 5 unit Family Room dan 9 unit Suites Room. Terdapat juga skybridge yang akan menghubungkan blok A dan B pada bangunan tersebut. Antara fasiliti lain yang terdapat di dalam hotel tersebut adalah kolam renang, gymnasium, dewan serbaguna (Ballroom), bilik mesyuarat, sky restaurant dan Hotel café.

Manakala untuk bangunan kedai pejabat akan terdiri daripada 2 blok dimana Blok A mengandungi 7 unit bangunan kedai pejabat 3 tingkat dengan anggaran harga jualan RM1.4 Juta untuk setiap unit. Manakala Blok B pula terdapat 11 unit lot kedai strata (tingkat bawah) dengan anggaran harga jualan RM550 ribu bagi setiap unit.

Koop Sahabat berharap dengan adanya projek pembangunan ini akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan anggaran staff hotel yang diperlukan kelak seramai sekurang-kurangnya 50 orang. Malah, ekonomi setempat di kawasan berkenaan juga dilihat mampu memberi saingan bagi menambah pendapatan warga tempatan dan Anggota Koop Sahabat sendiri terutamanya.